Berjalan aku berjalan. Berjalan aku penuh
tujuan. Dari kaki lima jalan yang kosong aku melewati ke kawasan yang penuh dengan
orang. Langkah ku bermula dengan bismillah. Satu tapak ke satu tapak. Tanganku
menghayun ke kiri kanan mencari haluan. Bunyi pantulan menjadi panduan.
Sampai aku di satu persimpangan. Aku
menghentikan langkah. Menekan lampu traffic ligt yang megah berdiri. Satu
persatu bunyi kenderaan melewat persimpangan. Bau wangian asap kenderaan
menusuk jauh ke dalam nostril hidung. Aku menekup hidung menunggu penuh
kesabaran. "Bip!!! Bip!!! Bip!!!" Tanda aku harus memulakan langkah
ke seberang.
Adat hidup di kota rimba, manusia hilang budi
pekerti, satu susuk tubuh melanggar sisi. Aku terjatuh ke tepi. Tongkat
kesayanganku terlepas dari genggaman. Terdengar suara dan wangian perfume
bermacam jenama melewati aku tanpa rasa mahu membantu. Aku terkial-kial
meraba-raba kaki jalan yang kasar kulitnya, yang berdebu kulitnya.
Dalam kegelapan aku terlihat cahaya, cahaya
yang aku tak pernah nampak lepas insiden yang menghitamkan aku 7 tahun lalu.
Aku jadi lupa cahaya itu. Cahaya yang datang dengan suara dan bauan yang aman.
Tanganku di pegang. Aku di tarik ke belakang. Di sandarkan aku ke kaki tiang
kukuh traffic ligh. Di kembalikan tongkat kesayanganku. Suara lunak
berkumandang memecah situasi kelam.
Bertanya dia adakah aku okey? Aku terdiam
terkesima mendengar suaranya yang sedap, baunya yang sangat harum. Sudah lama
aku tak dengar suara ini. Sudah lama agaknya aku pendamkan diri dari mendengar
suara ini bauan ini. Dia memegang tanganku erat, sudah lama aku rindukan
sentuhan ini. Memori kembali kepada insiden 7 tahun lepas.
Aku kehilangan orang yang aku sayang bersama
dengan anugerah tuhan 7 tahun lepas, tapi ianya seolah-olah hidup kembali hari
ini. Di hari yang sama aku kehilangan semuanya yang aku miliki. "Awak nak
pergi mana ??" Dia bersuara. Aku membalas "menziarah orang yang
tersayang di Block K". Dia tersentak kerana tahu Block K merujuk tanah
perkuburan di kawasan itu. Aku bangun lalu melangkah. Baunya hilang dari hidung
kemek ku.
Seminggu kemudian aku berjalan mencari angin
petang aku melewati kawasan taman berdeketan rumahku. Aku berjalan sehingga aku
terhidu bau yang sangat aku kenal. Bau yang aku ingat dari 7 tahun dulu, bukan
bau ni dari seminggu yang lalu. Semakin lama semakin dekat. Aku berdebar. Bau
itu sekelip mata hilang dari hidungku, aku berpusing mencari bau itu. Satu
sentuhan hinggap di tongkat kesayanganku. Aku kaget lalu suara yang merdu meleraikan
segalanya. "Mari saya temankan awak" suara itu merungkai segalanya.
Aku kembali bernyawa, aku kembali melihat semenjak hari itu.

No comments:
Post a Comment